Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS)


OBJEKTIF

Program Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) merupakan sebahagian daripada program teras Koperasi SMK Pulau Gaya Berhad. Ia merupakan agenda penting yang akan dilaksanakan secara berterusan oleh koperasi demi memangkin semangat berkoperasi untuk seluruh warganya. Selain itu, program PKS ini juga menjadi sasaran utama koperasi untuk menjana keuntungan di bidang pelancongan sesuai dengan kapasiti logistik sedia ada dan lokasi sekolah yang strategik.

PELAN PELAKSANAAN
Berdasarkan program kursus bimbingan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), pihak koperasi SMK Pulau Gaya yakin untuk meneroka bidang pelancongan ini secara bersepadu sambil menggerakkan tenaga pelajar selaku jawatankuasa yang menjayakan program ini. Ia bukan sahaja sebagai latihan awal kepada mereka tetapi juga sebagai medan untuk mereka menimba ilmu pengurusan pakej pelancongan domestik.

Seramai 30 orang pelajar terlibat secara langsung dalam menjayakan pelaksanaan program ini. Seorang ketua dari kalangan pelajar turut dilantik untuk menyelaras tugasan kumpulan mereka dengan dipantau beberapa orang guru.

Sebagai pihak Hos (tuan rumah) pihak koperasi bertanggungjawab menyediakan semua kemudahan untuk tamu sepanjang mereka mengikuti program kami dengan harga pakej yang tertentu (dipersetujui bersama antara hos dan tamu).

RASIONAL PROGRAM

  • Mendidik pelajar lebih berdikari dan pandai menyesuaikan diri dengan orang dan persekitaran yang berbeza.
  • Memberi peluang kepada pelajar bertemu dengan rakan baru dan berinteraksi secara lebih terbuka serta melihat dunia luar dengan perspektif baru.
  • Mengeratkan tali silaturrahim antara dua sekolah yang terlibat dalam program ini.
  • Memberi peluang yang lebih kepada pelajar terutama warga sekolah dari luar negeri Sabah untuk lebih mendekati alam dan mengenali keunikan negeri Sabah.
  • Menggalakkan industri pelancongan domestik.
  • Menggalakkan pelajar lebih mendekati bidang pelancongan dan membina minat mereka untuk menceburi bidang tersebut sesuai dengan kelebihan yang sedia dimiliki SMK Pulau Gaya.

Program PKS ini telah pun dirancang perlaksanaannya sejak awal tahun 2008, bermula dengan penganjuran Kursus Hos dan disusuli dengan Kursus Tamu oleh pihak ANGKASA. Namun ekoran dari masalah dan halangan yang silih berganti maka perlaksanaannya telah tertunda sebanyak 2 kali.

Perlaksanaan projek pertama PKS Koperasi SMK Pulau Gaya Berhad akan berlangsung pada 10 - 12 Jun 2009, seminggu dari sekarang. Tamu pula adalah pelajar dan guru dari SMK Kamil, Pasir Puteh, Kelantan seramai 39 orang.


1 Response
  1. Anonymous Says:

    Rindu sgat2 kat hos smk pulau gaya.....
    Sekolah t'cantik penah kami lihat!!!!


Post a Comment